PUTRAJAYA, 5 Mei - Tiga rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di Sudan berikutan pertempuran bersenjata di negara itu dijangka kembali ke tanah air, Ahad ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata ketika ini ketiga-tiga mereka telah selamat tiba di King Faisal Naval Base, Jeddah, Arab Saudi awal pagi Jumaat dengan kapal tentera laut Arab Saudi "Amanah” pada pukul 12.50 tengah malam waktu Malaysia.
Katanya, ini merupakan hasil usaha Kementerian Luar (Wisma Putra), Pasukan Khas Operasi Sudan, Kedutaan Besar Malaysia di Sudan, Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh, Kerajaan Arab Saudi serta beberapa pihak lain.

"Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi kerana sekali lagi membantu rakyat Malaysia keluar dari Sudan dan menyediakan fasiliti sepanjang berada di Jeddah," katanya menerusi kenyataan.
Tambah Dr Zambry, ketiga-tiga mereka dijangka tiba di tanah air pada pukul 5 pagi (waktu Malaysia) pada 7 Mei ini menaiki pesawat Saudia SV842 yang telah diuruskan sepenuhnya oleh Wisma Putra dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah.
Beliau turut meminta rakyat Malaysia yang mempunyai saudara atau kenalan rakyat Malaysia yang didapati berada di Sudan supaya berhubung dengan Wisma Putra untuk membantu mencari mereka.