KUANTAN, 17 April- Tiga peruncit dikenakan kompaun sepanjang penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2023 yang bermula dua hari lalu.
Tindakan itu diambil terhadap kesalahan gagal mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu atas barangan yang disenaraikan dalam skim berkenaan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, ketiga-tiga peruncit itu dikenakan kompaun sebanyak RM500 bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
"Sebanyak 2,036 premis di seluruh negara telah diperiksa.
Ia termasuk pemeriksaan ke atas 121 premis di Pahang yang terdiri daripada pemborong dan peruncit," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Pelancaran Inisiatif Payung Rahmah Nirwana Group dan Turun Padang Pemeriksaan SHMMP Hari Raya Puasa di sini.
(Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh
bercakap kepada pemberita dalam sidang media di sini)
Beliau turut memaklumkan, sepanjang pelaksanaan SHMMP, pihaknya tidak menerima aduan mengenai kenaikan harga barangan atau kekurangan bekalan.