SEREMBAN, 4 Disember-Kerajaan Negeri Sembilan sedang mempertimbang tiga lokasi strategik bagi pembinaan Masjid Terapung di Port Dickson yang bakal menjadi ikon pelancongan di daerah tersebut.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, kos perbelanjaan bagi pembinaan masjid tersebut dianggarkan sebanyak RM25 juta.
Jumlah peruntukan itu meliputi RM15 juta dari kerajaan perseketuan dan RM10 juta dari kerajaan negeri.
"Status semasa adalah di peringkat penilaian teknikal kesesuaian tapak lokasi pembinaan projek.
"Pejabat daerah bersama pejabat agama negeri telah menilai tiga lokasi tapak yang bersesuaian yang akan kita putuskan bersama untuk memastikan bahawa tapak yang dipilih itu bersesuaian dan akan dijadikan sebagai ikon di Port Dickson", katanya ketika sesi pertanyaan lisan hari kedua Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini.
Ia bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Abdul Fatah Zakaria yang bertanya berhubung status terkini pembinaan Masjid Terapung dan Pejabat Agama Islam Daerah Port Dickson.
Tambah Aminuddin, pembinaan masjid tersebut dapat memperluaskan syiar Islam sekali gus menjadi salah satu tarikan pelancongan di Negeri Sembilan.
Pada Februari lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukkan sebanyak RM31.8 juta bagi pembinaan lima buah masjid di Negeri Sembilan antaranya ialah Masjid Terapung Port Dickson, Masjid Ulu Beranang, Masjid Kariah Talang Tengah, Masjid Tunku Munawir Seri Menanti, dan Masjid Bongek.