fb fb fb fb fb

Tidak tolak cadangan potong elaun ahli parlimen ponteng - Tan Seri Johari

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Seri Johari Abdul

KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Seri Johari Abdul tidak menolak mencadangkan pemotongan elaun kedatangan harian berjumlah RM400, sehari terhadap ahli parlimen yang culas dan ponteng untuk hadir bermesyuarat tanpa sebarang alasan kukuh.

Langkah itu katanya bagi menangani isu disiplin melibatkan mana-mana ahli parlimen terlibat.

Bagaimanapun jelas Johari perkara perlu dibawa kepada Jawatankuasa Dewan terlebih dahulu untuk dibincangkan sebelum sebarang tindakan sewajarnya diambil.

Tindakan itu juga adalah sebagai salah satu usaha memantapkan lagi institusi berparlimen di negara ini.

"Saya belum cadang lagi, tetapi saya sedang pertimbang dan mengkaji secara mendalam. Dan saya akan bawa ke jawatankuasa dewan. Saya tidak boleh buat keputusan. Saya cuma akan mencadangkan.

"Setiap perjalanan di dewan itu. Kita ada jawatankuasa, jadi saya akan cadangkan ke jawatankuasa dewan. Dewan kata ok, kita potong lah. Kalau kata kita ambil tindakan tengoklah jawatankuasa. Kerana jawatankuasa ini ada pembangkang ada kerajaan. Bukan keputusan saya, keputusan ini adalah keputusan jawatankuasa," kata Johari.
 
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja bertemu Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Terengganu, Datuk  Mohd Nor Hamzah di Wisma Darul Iman, di sini.

Terengganu menjadi negeri kesembilan dilawati dan dijelajahi Johari bersama-sama rombongan kerjanya sebelum bergerak ke negeri seterusnya iaitu Pahang, esok.

Dalam pada itu Johari berkata, mana-mana ahli parlimen yang ingin mengemukakan sebarang pindaan Rang Undang-Undang (RUU) baharu perlu diberikan kepada Ketua Setiausaha dalam tempoh 14 hari.
 
Ini bagi membolehkan ahli parlimen mempunyai lebih masa meneliti dan mengkaji RUU tersebut sebelum dibahaskan.
 
Johari Abdul berkata arahan tersebut dapat menjimatkan masa perbahasan semua ahli parlimen, selain sudah memanggil semua Ketua Setiausaha dan memohon kerjasama daripada mereka.
 
"Kalau ada rang undang-undang, sama ada rang undang-undang baharu yang akan diperkenalkan di parlimen atau ada pindaannya yang dilakukan terhadap satu undang-undang.

"Seelok-eloknya RUU itu sampai awal ke parlimen. Saya menetapkan seeloknya dua minggu supaya dalam tempoh itu kita sempat edar kepada ahli parlimen. Ahli parlimen pula dapat baca dan buat penyelidikan sebab ada masa," kata Johari.

TETITIA YUSOFF