fb fb fb fb fb

Tidak patuh syarat kemasukan, lima warga asing dilarang masuk Malaysia

Lima warga asing dilarang masuk Malaysia

BUKIT KAYU HITAM, 23 Disember - Tidak mematuhi syarat kemasukan ke Malaysia, lima warga asing ditolak kemasukan ke negara ini.

Kesemua mereka dihalang masuk ke Malaysia melalui Kompleks Imigresen Kastam Kuarantin dan Keselamatan, ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Komander (Operasi) AKPS Bukit Kayu Hitam, Noorazam Ahmad.

Beliau berkata, dua warganegara Myanmar terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita beusia lewat 50-an disekat daripada masuk ke negara ini kerana tidak mempunyai kebenaran sah untuk memasuki Malaysia melalui laluan darat.

"Seorang lelaki warganegara Thailand berusia 49 tahun turut ditolak kemasukannya berikutan passport yang dimiliki telah diklasifikasikan sebagai rosak.

"Turut dihalang masuk ke Malaysia, dua wanita warga China berusia lewat 40-an yang diberikan Notis Penolakan Masuk kerana tidak memenuhi syarat kemasukan serta disyaki bukan pelancong tulen," katanya.

Menurut beliau, semua individu terlibat telah diarah berpatah balik ke negara asal melalui laluan yang ditetapkan.

Tegas Noorazam, pihaknya sentiasa komited dalam memastikan pintu masuk negara berada dalam kawalan rapi dan tidak disalahguna oleh mana-mana pihak.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID