fb fb fb fb fb

Jumlah penduduk terjejas banjir di Pahang berkurangan

Jumlah penduduk terjejas turun kepada 194 orang daripada 58 keluarga pagi ini/ Foto BERNAMA

KUANTAN, 23 Disember - Jumlah penduduk terjejas banjir di Pahang menunjukkan pengurangan dengan 194 penduduk daripada 58 keluarga masih berada di lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pagi ini, berbanding 218 orang daripada 66 keluarga pada petang Isnin.

Menurut aplikasi Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 129 orang daripada 35 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Semangat, Kuantan manakala di Maran sebanyak 35 orang daripada enam keluarga berada di PPS Balai Raya Kampung Baru Pertanian.

Tiga PPS iaitu Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Sekolah Kebangsaan Pulau Manis dan Dewan Orang Ramai Air Hitam pula beroperasi di Pekan, menempatkan 30 penduduk daripada 17 keluarga.

Laman web infobanjir pula memaklumkan paras air Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan telah melepasi aras bahaya namun menunjukkan trend penurunan setakat 8 pagi.

Hujan lebat berterusan minggu lepas mengakibatkan beberapa daerah di Pahang dilanda banjir dengan penduduk yang dipindahkan ke PPS direkodkan melebihi 13,000 orang. -BERNAMA

MASNIZA AWANG KECHIK