fb fb fb fb fb

Tidak kira zaman, radio kekal relevan

Sambutan Hari Radio Sedunia@ 0.0 kilometer Telok Melano

KUCHING, 13 Februari- Peranan radio masih relevan dalam menyebarkan maklumat terkini walaupun terdapat perubahan ke arah teknologi digital.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan berkata radio masih menjadi medium pilihan masyarakat tanpa mengira zaman.

Beliau berkata, sebagai generasi Y atau millenial yang melalui transisi daripada segala hal yang bersifat analog kepada digital, beliau melihat bahawa fungsi radio bukan hanya untuk golongan yang kurang celik teknologi.

"Sebaliknya rata-rata generasi masa kini masih menjadikan radio sebagai peneman dan sumber informasi terutama ketika memandu,"katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi tetamu konti Dj Corner bersempena Sambutan Hari Radio Sedunia@ 0.0 kilometer Telok Melano.

Azizul turut berkongsi dan mengimbau kembali kenangan manis zaman kanak-kanaknya bagaimana program-program seperti berita keluarga, bermukun, iklan-iklan serta lagu-lagu yang dimainkan di radio RTM menjadi pilihan hiburan serta untuk mendapatkan maklumat.

Pada program itu, Azizul turut berkesempatan bersama-sama kakitangan dan ikon radio RTM Sarawak melakukan aktiviti pembersihan dan mengutip sampah di sekitar Pantai Telok Melano yang merupakan sebahagian aktiviti tanggungjawab sosial korporat pada sambutan hari radio kali ini.

Beliau turut menyampaikan bakul makanan kepada 15 penerima berupa makanan keperluan asas.

Selain itu juga, antara pengisian program pada Sambutan Hari Radio Sedunia di RTM Sarawak adalah “Ride to Telok Melano” anjuran Kelab Rekreasi RTM Kuching yang bermula di Auditorium P. Ramlee RTM Kuching pada pagi tadi dengan disertai seramai 43 konvoi bermotorsikal dan juga program Juh Bermukun.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE