KUALA LUMPUR, 13 Februari- Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR) 2023 berada pada tahap sederhana dengan skor 7.24 berbanding skor 6.47 pada 2022 dan 6.09 pada 2021.
Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Badlishah Sham Baharin berkata ia melibatkan 3,192 responden seluruh negara merangkumi warganegara berusia 18 tahun ke atas secara persampelan berstrata.
"Kompetitif indeks negara meningkat, kemudian dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) juga meningkat dalam 2023. Jadi, kalau dibandingkan dengan indeks yang lain pun, insya-Allah ada peningkatan."
"Apa yang kami ukur dan apa yang indeks lain ukur pun, nampaknya ada pengimbangan ataupun imbangan peningkatan itu," kata Badlishah kepada pemberita di ibu negara.
Dengan menggunakan skala 1 hingga 10, peningkatan skor ketara direkod untuk Kesejahteraan Sejagat (1.27), Tadbir Urus Yang Baik (1.18) dan Kepimpinan Yang Kompeten dan Berintegriti (1.07).
Hubungan Etnik dan Penganut Agama pula menguncup dengan penurunan skor sebanyak 0.27 daripada 7.40 pada tahun 2022 kepada 7.13 pada tahun 2023.
Kajian yang dilakukan bermula September hingga November tahun lalu itu akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.