fb fb fb fb fb

Tiada unsur sabotaj dalam tragedi pesawat Sabah Air

(Foto Arkib)

KUALA LUMPUR, 12 April - Tiada bukti menunjukkan terdapat unsur sabotaj, kebakaran atau letupan dalam tragedi pesawat Sabah Air terhempas pada 1976.

Nahas itu mengorbankan Ketua Menteri, Tun Fuad Stephens dan beberapa anggota Kabinet negeri Sabah.

Laporan siasatan akhir nahas yang telah dinyahklasifikasi dan dikeluarkan hari ini merumuskan bahawa kemungkinan punca nahas adalah disebabkan kedudukan pusat graviti pesawat di luar had buritan kapal.

Ia mengakibatkan kolum kawalan tidak lagi boleh digerakkan ke hadapan manakala bahagian muncung pesawat terangkat apabila sayapnya melepasi 25 darjah ketika hampir mendarat.

Menurut laporan itu, tiada bukti bahawa wujud kerosakan pada pesawat atau sistemnya sebelum nahas kerana ia telah diselenggara mengikut jadual yang ditetapkan.

Tiada bukti juga bahawa keadaan cuaca menyebabkan berlakunya tragedi tersebut.

"Pemuatan bagi penerbangan itu didapati tidak dilakukan dengan betul sehingga menyebabkan kedudukan graviti pesawat berada di luar had buritan sebagaimana yang telah ditetapkan.

"Pergerakan kolum kawalan ke hadapan adalah bagi menurunkan muncung pesawat atau menghalangnya daripada terangkat. Jika hentian hadapan dicapai ketika muncung pesawat terangkat maka sudah pasti berlaku hilang kawalan akibat ketiadaan kelajuan dan kestabilan di udara," menurut laporan itu.

(Tiada unsur sabotaj dalam tragedi pesawat Sabah Air/Fail Arkib)

Dalam tragedi itu yang juga dikenali sebagai 'Double Six,' sebuah pesawat ringan buatan Australia jenis Nomad 9M-ATZ kendalian Sabah Air membawa sekumpulan kenamaan dari Labuan terhempas di daerah Sembulan ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di Sabah pada 6 Jun 1976.

Laporan itu juga menyebut, adalah jelas prosedur operasi yang dilakukan oleh juruterbang syarikat terbabit tidak mematuhi piawaian profesional.

Pasukan penyiasat yang diketuai ketua pemeriksa Jabatan Penerbangan Awam Omar Saman turut mendapati bahawa tiada pelan penerbangan IFR (Instrument Flight Rules) dikemukakan seperti yang ditetapkan oleh Manual Operasi bagi penerbangan VVIP.

BERITA BERKAITAN
Laporan siasatan akhir nahas Sabah Air boleh diakses

(Foto Arkib)

Menyentuh perihal juruterbang, laporan itu mendapati lelaki berusia 42 tahun berkenaan memiliki lesen menerbangkan pesawat tersebut.

Tiada bukti menunjukkan dia berada bawah pengaruh alkohol atau dadah kecuali mengambil ubat antimalaria dikenali sebagai klorokuin.

Pada 5 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan untuk mendedahkan laporan akhir tragedi Double Six dibuat selepas mengambil kira tuntutan keluarga waris selain pandangan rakyat Sabah yang inginkan maklumat terperinci berhubung kejadian itu.

Laporan siasatan akhir nahas kini boleh diakses dan dimuat turun menerusi laman web Kementerian Pengangkutan.

(Tugu Peringatan Double Six)

Media Baharu