fb fb fb fb fb

Bekal by Foodpanda, tingkatkan sektor penghantaran makanan halal

CYBERJAYA, 12 April- Masyarakat Muslim kini boleh menikmati makanan halal yang dihantar kepada mereka dengan yakin dan selamat melalui perkhidmatan penghantaran 'Bekal by Foodpanda'. 

Ia merupakan cabang daripada platform penghantaran makanan terkenal, Foodpanda yang kini mendapat pensijilan halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar berkata, platform ini akan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hub makanan halal di mata dunia.

"Kita harapkan semoga akan ada lebih ramai lagi syarikat -syarikat bekal ini akan tampil untuk dapatkan sijil halal ini dan akan merancakkan lagi dan meramaikan lagi, memberi peluang kepada pengguna-pengguna sama ada, yang Islam dan bukan Islam yang sekarang ada alternatif lain untuk mendapatkan bekalan yang 100% yang telah dipersijilkan halal," katanya.

Beliau bercakap demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran ‘Bekal by Foodpanda' di Cyberjaya. 


(Datuk Dr. Mohd Na'im beramah mesra dengan rider bekal by foodpanda di Cyberjaya/ FB Dato' Setia Dr. Na'im)

Bekal by Foodpanda mematuhi setiap proses halal bermula daripada pesanan dibuat hingga pesanan dihantar ke rumah selain menjaga integriti dan kesucian halal sesuatu produk.

Ia juga dilengkapi dengan beg penghantaran khas bagi produk halal dan penghantar juga diberikan latihan khusus mengenai kesedaran halal dan sertu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bekal by Foodpanda, Sayantan Das berkata, pihaknya melihat permintaan yang semakin meningkat dalam kalangan pelanggan untuk segmen penghantaran halal.

Beliau berkata, pelanggan kini boleh menaruh kepercayaan terhadap Bekal by Foodpanda dalam hal pematuhan piawaian kebersihan dan keselamatan makanan yang paling ketat.

“Kami akan memastikan bahawa setiap penghantaran dilakukan dengan kepatuhan penuh kepada prinsip-prinsip halal, tanpa risiko makanan itu dicemari oleh makanan yang tidak halal,” katanya.

'Bekal by Foodpanda' kini beroperasi di Putrajaya dan akan diperluaskan ke seluruh Lembah Klang menjelang Julai nanti.

Media Baharu