fb fb fb fb fb

Tiada petunjuk pencerobohan bersenjata di Lahad Datu - Polis Sabah


KOTA KINABALU, 4 Februari - Tiada sebarang petunjuk ditemukan berhubung dakwaan sekumpulan lelaki warga asing berpakaian celoreng dan bersenjata, menyusup masuk ke Lahad Datu, pada 28 Januari lalu.

Ini disahkan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah.

Katanya pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah bersama Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) telah menjalankan tindakan dari sudut risikan dan penyiasatan berkaitan perkara itu.

"Walaubagaimanapun, pihak polis dan lain-lain pasukan keselamatan sentiasa memberikan perhatian tentang keselamatan di pantai timur Sabah dan Sabah keseluruhannya ketika ini daripada ancaman luar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Idris dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai agar tidak bimbang mengenai tahap keselamatan di negeri Sabah.

Semalam media melaporkan, seorang lelaki mendakwa melihat lebih 10 individu mencurigakan berpakaian celoreng serta bersenjata masuk ke Sabah melalui perairan Long Patau, Tambisan, minggu lalu.

Lelaki terbabit turut mendakwa semua individu itu adalah warga Filipina berdasarkan perbualan mereka dalam bahasa Tausug, iaitu bahasa pertuturan di wilayah Sulu.

Laporan media asing pada Disember tahun lalu menyebut, tentera Sulu merancang menyerang Sabah pada Februari 2022, susulan pertemuan 19 Datuk Bandar di selatan Filipina yang mengadakan mesyuarat secara rahsia.

Menerusi mesyuarat yang diaturkan oleh pegawai kanan kerajaan tempatan itu, 11 daripadanya bersetuju merekrut 600 Tentera Diraja Sulu bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Tentera Sulu dilaporkan turut merancang untuk menghantar 200 pengintip menyusup ke beberapa kawasan di Sabah.

Timbalan Ketua Polis Negara ketika itu, Datuk Seri Mazlan Lazim bagaimanapun memaklumkan, pertemuan yang dihadiri 19 Datuk Bandar dari Kepulauan Sulu itu bukan bagi tujuan merancang melancarkan serangan terhadap Sabah seperti yang dilaporkan media antarabangsa.

Pertemuan tersebut lebih kepada perbincangan mengenai hal-hal ekonomi dan keselamatan setempat.

Walaupun dakwaan itu tidak benar, pihaknya sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Semalam Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu, Datuk Razarudin Husain mengumumkan, Pasukan Unit Tindakhas (UTK) yang ditempatkan di pantai timur Sabah akan menjadi pasukan respons pertama untuk bertindak balas sekiranya terdapat ancaman besar.

Media Baharu