KUALA LUMPUR, 9 November- Kerajaan Perpaduan tidak terlibat dengan habuan dan paksaan dalam isu empat ahli parlimen blok pembangkang yang menyokong Perdana Menteri.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata dari hari pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah, beliau menunjukkan ketersediaan bekerjasama dengan mana-mana pihak demi negara.
Justeru, sesiapa yang masih mempunyai pandangan bahawa terdapat paksaan dan habuan, boleh tampil membuat laporan polis untuk dinilai.
"Buat laporan, bawa bukti dan kita nilai tapi setakat ini tidak ada. Tidak ada menteri yang tawardan sebagainya. Walau apa-apa pun kita hormat dengan keputusan yang dibuat empat ahli parlimen ini," katanya.
Terdahulu, empat ahli parlimen mewakili Perikatan Nasional yang mengumumkan pendirian menyokong Perdana Menteri, memohon menukar tempat duduk masing-masing dalam Dewan Rakyat.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata ahli parlimen terbabit menghantar permohonan kepada beliau untuk berbuat demikian.
Sementara itu, Fahmi memaklumkan tiada campur tangan mana-mana pihak dalam keputusan mahkamah berhubung kes Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq yang dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, denda sejumlah RM10 juta dan dua kali sebatan selepas didapati bersalah terhadap empat tuduhan.
Beliau menegaskan keputusan mahkamah secara bebas itu perlu diakur dan sentiasa beringat tiada seorang pun yang mengatasi undang-undang negara.