LENGGONG, 6 Mei- Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa BN dan UMNO akan terus komited mempertahankan Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelasnya, tidak ada seorang pun Ahli Parlimen daripada gabungan politik itu akan mengosongkan kerusi masing-masing sekali gus menumbangkan Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, dakwaan menyatakan kerajaan ketika ini akan dijatuhkan adalah tidak berasas.
"Saya ingin menyatakan di sini, bahawa Barisan Nasional sangat komited untuk terus bersama-sama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi terus mempertahankan Kerajaan Perpaduan Madani ini insya-Allah.
"Saya telah melakukan kaji selidik, tiap-tiap seorang Ahli Parlimen, saya ingin mengesahkan tidak ada seorang pun Ahli Parlimen Barisan Nasional apatah lagi daripada UMNO yang mahu meninggalkan dan mengosongkan kerusi itu," katanya.
(Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi / FOTO BERNAMA)
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Perak di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Lenggong.
Turut hadir pada sambutan tersebut, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.