fb fb fb fb fb

Tiada dam untuk wanita pakai pelitup muka ketika ihram

MAKKAH, 9 JUN- Jemaah haji wanita yang memakai pelitup muka ketika dalam ihram tidak perlu membayar dam, kata Pengarah Operasi Bimbingan Lembaga Tabung Haji (TH) Tengku Aziz Raja Abdullah.

Beliau berkata ia merupakan keputusan yang dicapai menerusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-37,y demi kemaslahatan darurat ketika ini.

Muzakarah tersebut bersetuju bahawa semasa wabak, pemakaian pelitup muka yang diarahkan oleh kerajaan Arab Saudi ketika dalam ihram bagi wanita adalah diharuskan, tidak dikenakan dam dan tidak berdosa.

(Pengarah Operasi Bimbingan Lembaga Tabung Haji (TH) Tengku Aziz Raja Abdullah)

"Jadi bererti pada masa sekarang kerajaan Arab Saudi telah menetapkan bahawasanya, sekarang adalah diwajibkan untuk semua yang datang ke Arab Saudi mesti menutup ataupun memakai pelitup muka sama ada di tempat terbuka ataupun di tempat yang tertutup, bererti warta ini masih berkuat kuasa sehingga diberitahu oleh kerajaan Arab Saudi," kata Tengku Aziz.

Beliau menambah ia juga tertakluk dalam hukum fiqah iaitu yang boleh membuat sesuatu keputusan adalah pemerintah di satu-satu tempat.

Walaupun pada waktu ini pemakaian pelitup muka di tanah suci dianggap sebagai pilihan, tetapi jemaah haji digalakkan terus mengamalkan pemakaian pelitup muka demi keselamatan dan kesihatan diri.

Sementara itu di Mekah, majlis bacaan yasin dan doa selamat diadakan, bagi memohon keberkatan yang Maha Esa agar perjalanan haji musim ini berjalan lancar dan dipermudah serta dijauhi daripada sebarang musibah terutama wabak COVID-19.

Laporan Faisal Jamal

Media Baharu