MEKAH, 6 Mei - Lembaga Tabung Haji (TH) memberi jaminan akan membantu jemaah haji Malaysia sekiranya berlaku kehilangan Kad Nusuk dengan menyediakan dokumen pengenalan diri sementara bagi memastikan kelancaran ibadah sepanjang musim haji 1446 Hijrah.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata langkah itu bertujuan memastikan jemaah tetap dapat bergerak dan menunaikan ibadah di sekitar Kota Mekah tanpa sebarang kesulitan.
“Jika berlaku kehilangan Kad Nusuk, segera maklumkan kepada Tabung Haji. Kita akan membantu untuk mengganti dengan kad yang baharu. Sementara itu, kita akan beri pengenalan diri sementara seperti salinan visa haji untuk mereka bawa semasa ke masjid, sama ada mereka berada di luar hotel atau maktab,” katanya kepada pemberita, di sini.
Mohd Hisham turut mengingatkan hanya jemaah yang memiliki visa haji yang sah sahaja dibenarkan memasuki kawasan Mekah dan Masjidil Haram.
Oleh itu, jemaah diminta sentiasa membawa Kad Nusuk ke mana sahaja, khususnya ketika keluar dari kawasan penginapan.
Kad Nusuk, yang diperkenalkan tiga tahun lalu, berfungsi sebagai dokumen rasmi pengenalan diri jemaah haji.
Ia memudahkan pergerakan jemaah dari seluruh dunia untuk memasuki Masjidil Haram di Mekah, Masjid Nabawi di Madinah serta lokasi ibadah haji lain sepanjang musim haji.