SEPANG, 30 Oktober -Lembaga Tabung Haji (TH) akan meneliti dan mempertimbangkan cadangan bakal jemaah berumur 60 tahun dan ke atas diberikan kelayakan automatik menunaikan haji melalui pakej muassasah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, berkata pelaksanaan giliran menunaikan haji masih tertakluk kepada dasar penggiliran sedia ada yang ditentukan berdasarkan tarikh pendaftaran awal.
"Sebab polisi yang ada sekarang, siapa yang daftar dulu, dia akan didahulukan. Saya faham tentang isu usia tersebut. Usul yang dibawa oleh ahli parlimen semua itu akan dibincangkan dan akan diberikan pertimbangan oleh Tabung Haji," katanya kepada pemberita, selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) 1447H/2026, di sini.
Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen mencadangkan agar TH mempertimbangkan pemberian kelayakan automatik kepada bakal jemaah berusia 60 tahun ke atas bagi menunaikan haji menerusi pakej muassasah.
Turut dilaporkan, sistem pendaftaran haji sedia ada memerlukan warga emas yang belum tersenarai dalam giliran semasa mengemukakan permohonan rayuan dan perlu membuat pembayaran penuh haji berjumlah RM33, 300 apabila diluluskan.
Kerajaan Arab Saudi terus memperketatkan syarat kesihatan dan kawalan kemasukan jemaah bagi musim haji 1447 Hijrah, sebagai langkah mengurangkan risiko kematian dan memastikan kelancaran ibadah di Tanah Suci.