KUALA LUMPUR, 31 Oktober - RM5.5 juta dana berjaya dikumpul pada Majlis Makan Malam Amal ‘A Night To Care' anjuran Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata sumbangan berkenaan mampu memberikan peluang kedua kepada pesakit kronik yang menanggung kos rawatan mencecah puluhan ribu ringgit setahun.
"Saya cukup terharu dengan sumbangan dari pelbagai pihak kerana ramai yang telah tampil untuk membantu. Semoga sumbangan ini dapat membantu tabung PPUMCare terutama untuk menguruskan kes-kes bagi kelompok B40.
"Ramai pesakit di PPUM ini datang dari kawasan Lembah Pantai. Alhamdulilah kita telah berjaya meraih sumbangan RM5.5 juta setakat tadi," katanya kepada media pada Khamis.
Beliau pada masa sama menyeru agar lebih ramai yang tampil menghulurkan sumbangan kepada PPUMCare dalam usaha membantu pesakit khususnya golongan B40.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menyempurnakan perasmian program.