GYEONGJU, 30 Oktober - Pendekatan seimbang Malaysia yang mengekalkan hubungan erat dengan Amerika Syarikat dan China, berjaya meletakkan negara sebagai penghubung pelbagai blok ekonomi di rantau ini.
Jelas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pelaksanaannya berpaksi kerjasama serantau melalui ASEAN dan platform global seperti Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).
Langkah itu bertepatan dalam suasana perdagangan global tidak menentu dan semakin berpecah.
Beliau menyatakannya selepas menerima Laporan Tahunan Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) daripada Pengerusi ABAC Malaysia, Datuk Ruben Emir Gnanalingam di Gyeongju, Korea Selatan.
Laporan tersebut akan diteliti untuk dijadikan input penting dalam perbincangan dasar sepanjang Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM).
Keutamaannya adalah memperjuang agenda berpaksi kesejahteraan rakyat, keadilan ekonomi dan keseimbangan pembangunan serantau.
Jelas Perdana Menteri, seruan laporan ini terhadap perdagangan terbuka berasaskan peraturan adalah selari dengan dasar keterlibatan Malaysia yang berkecuali dan pragmatik.
Esok, Perdana Menteri dijadual menyertai AELM dan menyampaikan kenyataan negara pada sesi Dialog Tidak Formal Pemimpin Ekonomi APEC mengenai pengukuhan rantaian bekalan, ekonomi digital dan kerjasama serantau.
Beliau turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa pemain utama industri.
Fokus pertemuan adalah perbincangan mengenai peluang perniagaan dan pelaburan.