fb fb fb fb fb

Selepas lebih dua jam ditutup, terowong Lebuhraya SMART kembali beroperasi

KUALA LUMPUR, 11 Disember - Terowong Lebuhraya SMART kembali beroperasi selepas ditutup lebih dua jam susulan hujan lebat di Lembah Klang sejak pukul 5.00 petang semalam.

Pusat Kawalan Banjir SMART (SMART SCC) dalam kenyataannya berkata, sistem telah kembali ke Mod 2b dan proses pembukaan terowong trafik bermula pukul 9.30 malam manakala Mod 1 pada 10.10 malam.

"Sepanjang operasi, sebanyak 910,000 meter padu air telah dilencongkan dari Sungai Klang dan Sungai Ampang ke Kolam Takungan Berembang bagi mengawal aliran air Sungai Klang ke pusat bandar raya,” menurut kenyataan itu.

SMART SCC telah mengaktifkan operasi banjir untuk Mod 2 pada 6.51 petang apabila aliran air di pertemuan Sungai Klang dan Sungai Ampang mencapai 70 meter padu sesaat (m3/s).

Seterusnya SMART SCC mengaktifkan operasi banjir untuk Mod 3 pada 7.13 malam setelah aliran air di pertemuan di Sungai Klang dan Sungai Ampang mencapai 150 m3/s.

(FOTO FAIL)

Semasa operasi mod itu, proses penyuraian dan penutupan terowong trafik dilaksanakan oleh SMART MCC.

"Petugas JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) di SMART SCC telah berjaya menjalankan tugas sepertimana SOP (Prosedur Operasi Standard) dan berjaya menangani risiko banjir dari berlaku," kata kenyataan itu.

Media Baharu