KUALA LUMPUR, 25 Mac- Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke program Iftar Kasih Ukhwah di Kolej Komuniti Kelana Jaya, Petaling Jaya anjuran Yayasan TZA, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Tengku Amir berkenan menandatangani buku pelawat Kolej Komuniti Kelana Jaya dan melawat sekitar kolej tersebut.
Dalam majlis ini, baginda berkenan menyampaikan sumbangan 160 kotak makanan daripada Yayasan TZA bagi menyokong inisiatif kolej dalam menyediakan bantuan makanan kepada pelajar yang memerlukan.
Selain itu, Raja Muda Selangor juga berkenan menyampaikan dua unit komputer riba untuk kegunaan pelajar bagi meningkatkan peluang pendidikan berkualiti.
Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan buah tangan Syawal dan duit raya kepada pelajar Kolej Komuniti Kelana Jaya.
Zafrul yang juga selaku Penasihat Yayasan TZA dalam sembah ucapannya berkata generasi muda memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi Malaysia ke arah industri berteknologi tinggi dan pembuatan maju, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.
"Kami juga ingin mengalakkan semangat keusahawan dan inovasi dalam kalangan pelajar bukan sekadar menjadi pekerja yang mahir tetapi juga menjadi pencipta peluang ekonomi baru.
Dalam konteks ini, kursus-kursus sepanjang hayat yang ditawarkan di kolej ini memastikan kita mempunyai asas dan kemahiran untuk sentiasa kekal relevan dalam pasaran kerja yang dinamik," kata Tengku Datuk Seri Zafrul kepada pemberita, hari ini.
Tengku Amir berkenan berbuka puasa dan menunaikan solat maghrib bersama pelajar dan kakitangan kolej tersebut.