fb fb fb fb fb

Tekong ditahan cuba seludup keluar empat warga Indonesia

FOTO MARITIM MALAYSIA JOHOR

PONTIAN, 3 Februari- Seorang lelaki berusia 48 tahun ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas dikesan cuba menyeludup keluar empat lelaki warga Indonesia, malam tadi.

Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, tangkapan tekong bersama warga asing tersebut dilakukan di kedudukan 1.6 batu nautika barat daya Tanjung Piai pada pukul 8.00 malam.

Ketika kejadian, bot peronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan, sebelum ia memecut laju ke arah perairan Indonesia setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Selepas berjaya memintasnya, Maritim Malaysia Johor mendapati kesemua warga Indonesia berumur 25 hingga 38 tahun itu cuba keluar dari negara untuk menuju ke Tanjung Balai, Indonesia.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959, serta Seksyen 26 B Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007

SITI AISHAH BINTI MD ISA