fb fb fb fb fb

TDM peroleh enam helikopter tempur ringan

SUBANG, 28 Februari- Tentera Darat Malaysia (TDM) memperoleh enam helikopter tempur ringan model MD 530G Light Scout Attack yang akan diaturgerak demi kelangsungan misi dan meningkatkan kesiagaan tentera darat dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, berkata helikopter yang berperanan sebagai Pesawat Tempur Ringan itu dilengkapi kuasa tembakan (firepower) jenis Gatling Gun 7.62mm, Heavy Machine Gun 12.7 milimeter dan Rocket Launcher 70mm.

"Keupayaan kuasa tembakan (firepower) yang dimiliki oleh pesawat ini mampu menggempur kenderaan perisai ringan dan trup Infantri dalam jarak 500 meter ke 7 kilometer. Ketangkasan helikopter ini juga membolehkan ia melaksanakan tugas tinjauan udara.

"Helikopter ini akan diaturgerakkan untuk membantu ketumbukan Tempur TD yang lain di Semenanjung Malaysia dan juga Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan acara Ketibaan Enam Unit Light Scout/Attack Helicopter Model MD530G di Hangar 2, Invation Aero di Subang.

(Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dalam sidang media pada Majlis Ketibaan Enam unit Helikopter Light Scout/Attack Model MD530G di Invation Aero, Subang)

Zamrose berkata, tiga pesawat tempur ringan ini akan dihantar ke Sabah untuk kegunaan di kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

"Sebelum ini, kita memang rancang untuk penugasan persisiran Pantai Timur Sabah tetapi memandang sudah ada tiga Agusta Westland di sana, jadi kita akan tempatkan tiga di ESSCOM dan tiga buah lagi di Kluang (Kem Mahkota) untuk tujuan latihan," katanya.

Kesemua helikopter keluaran MD Helicopters Inc, anak syarikat gergasi aeroangkasa Amerika Syarikat itu selamat tiba di Pelabuhan Klang pada 21 Februari lalu pada pukul 3.00 pagi setelah melalui pelayaran panjang selama 31 hari.

Demi menentukan kualiti pesawat tersebut menepati spesifikasi, satu pasukan pemeriksaan Pre-Delivery Inspection (PDI) telah ditubuhkan pada 21 Julai tahun lalu.

Kesemua helikopter tersebut akan menjalani pemeriksaan akhir secara terperinci oleh pasukan khas, atau Final Acceptance Test Team (FAT), sebelum Sijil Pemeriksaan Akhir ditandatangani bersama.

"Setelah Tim FAT mengesahkan helikopter ini lulus pemeriksaan akhir, Sijil Pemeriksaan Akhir akan dikeluarkan dan ditandatangani oleh wakil syarikat bersama Tim FAT dan ini menandakan enam helikopter ini menjadi hak milik Tentera Darat Malaysia secara rasminya," katanya.


(Helikopter Light Scout/Attack Model MD530G tiba di Invation Aero, Subang)

Media Baharu