fb fb fb fb fb

TBC: Keluarga penghuni penjara boleh melawat 12 hingga 13 Februari

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 5 Februari - Sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC), keluarga penghuni penjara dibenarkan membuat lawatan bermula 12 hingga 13 Februari ini.

Jabatan Penjara dalam kenyataan berkata, lawatan turut melibatkan Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney dengan keutamaan diberi kepada penghuni kaum Cina sahaja.

Terdapat dua kaedah perjumpaan iaitu secara bersemuka dan secara dalam talian (panggilan video) di mana kaedah secara dalam talian akan dilaksanakan selama tiga hari bermula pada 14 hingga 16 Februari.

"Pelawat yang memilih kaedah bersemuka perlu mematuhi syarat antaranya waktu lawatan bermula dari 8.15 pagi hingga 4.15 petang, membuat ujian RT-PCR atau ARTK-Ag (swab/saliva) dalam sah laku tiga hari selepas pengambilan sampel dan tidak bergejala serta perlu membawa kad lawatan serta kad pengenalan bagi memudahkan urusan.

"Selain itu, pelawat tidak dibenarkan membawa sebarang makanan dan minuman kepada penghuni serta tidak digalakkan memberi wang kepada penghuni memandangkan semua kemudahan asas telah disediakan oleh Jabatan Penjara," menurut kenyataan itu.

Jabatan Penjara turut memaklumkan lawatan perjumpaan hanya dibenarkan kepada pelawat yang membuat janji temu menerusi tempahan iaitu Sistem i-Visit di www.prison.gov.my, panggilan telefon dan e-mel atau surat ke institusi berkenaan.

Tarikh dan sesi perjumpaan akan ditetapkan selepas tempahan dibuat dan mereka perlu menghubungi institusi berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

TETITIA YUSOFF