fb fb fb fb fb

Tawar sijil vaksinasi palsu, poliklinik swasta diserbu polis


SHAH ALAM, 17 Januari - Tujuh individu tempatan termasuk tiga wanita yang merupakan pekerja dan pemilik sebuah poliklinik dipercayai terbabit dalam aktiviti pemalsuan cara memperoleh dan mengeluarkan sijil vaksinasi secara tidak sah di Gombak, Selangor.

Ke semua suspek yang ditahan oleh pihak polis berumur lingkungan 20 hingga 35 tahun disyaki melakukan kegiatan itu, sejak tiga bulan lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata dalam serbuan di poliklinik pada Jumaat lalu, polis turut merampas peralatan komputer yang dipercayai digunakan untuk mengisi data pesakit ke dalam aplikasi MySejahtera.

Menurutnya, walaupun poliklinik tersebut menerima vaksin COVID-19 daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), namun kandungan botol vaksin dibuang dan dipulangkan kepada KKM sebagai tanda sudah dicucuk dan sijil vaksinasi dikeluarkan.

Arjunaidi berkata modus operandi poliklinik berkenaan adalah bagi individu yang tidak mahu menerima vaksin (antivaksin), mereka tidak akan disuntik tetapi hanya dikeluarkan sijil selepas dikenakan bayaran tertentu.

Tambahnya pada peringkat awal, pelanggan akan dikenakan bayaran sehingga RM3,000 tetapi kemudiannya bayaran diturunkan kepada RM500.

Beliau juga tidak menafikan terdapat persaingan harga dari kumpulan lain yang menawarkan perkhidmatan sama.

Serbuan itu dilakukan susulan pesanan ringkas yang tular melalui WhatsApp yang menawarkan khidmat pendaftaran vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera.

“Hasil penelitian dalam komputer riba yang dirampas mendapati terdapat 5,601 pesakit yang telah didaftarkan sebagai penerima vaksinasi ke dalam sistem MySejahtera. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti jumlah yang didaftarkan tanpa menerima suntikan,” katanya.

"Modus Operandi yang digunakan dalam kes ini adalah dengan cara mendapatkan pelanggan melalui sebaran “Whatsapp” dan juga kenalan terdekat."

Mereka disiasat bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sebelum ini media melaporkan Polis Terengganu berjaya membongkar kegiatan penjualan sijil vaksinasi COVID-19 palsu yang melibatkan seorang doktor klinik swasta berusia 51 tahun di Daerah Marang. 

Penipuan mengeluarkan sijil vaksinasi palsu berkenaan melibatkan golongan yang enggan divaksin dan sanggup membayar sejumlah upah antara RM400 ke RM600 bagi mendapatkan sijil palsu tersebut.

Sehingga tangkapan dibuat, polis percaya terdapat lebih 1,900 individu terlibat memohon mendapatkan sijil vaksinasi palsu itu.

Media Baharu