NIBONG TEBAL, 17 Januari - Susulan 400 keluarga di Kampung Ladang Byram, Kebun Baru, di arah berpindah semalam ekoran kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung sejak 12 Januari lalu.
Sekurang-kurangnya 7 hari lagi diperlukan untuk memadamkan api sepenuhnya termasuk memulihkan masalah pencemaran udara di kawasan terbabit.
Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman berkata pihaknya telah meminta syarikat pengurusan bertanggungjawab terhadap kejadian itu.
"Operasi pemadaman oleh pasukan bomba turut mengalami kesukaran ekoran tekanan air rendah selain masalah kekurangan tanah untuk ditambun dan itu antara kekangan yang dihadapi," katanya kepada pemberita.
Pihaknya akan cuba mengatasi masalah itu dengan kadar segera berikutan pencemaran udara daripada asap terbabit, boleh menjejaskan faktor kesihatan kerana mengandungi toksik.
"Tapak ini kita perlu tambun dengan tanah, air sahaja tidak menyelesaikan masalah. Maka kita akan pastikan syarikat bertanggungjawab mematuhi keperluan ini," kata beliau dalam sidang media selepas membuat tinjauan di tapak kebakaran berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata pihak pengurusan terlibat sebelum ini pernah beberapa kali dikenakan tindakan atas kesalahan melakukan pembakaran terbuka di tapak pelupusan tersebut.
"JAS sebenarnya telah pun kompaun tapak ini beberapa kali berikutan isu pembakaran terbuka dan kita juga ada ambil tindakan mahkamah kepada mereka dimana prosesnya masih berjalan."
"Untuk kesalahan ini juga kita akan lihat apa kesalahan-kesalahan lain yang berlaku bawah Seksyen 34A tetapi pada masa sama tapak pelupusan ini perlu mengambil langkah penyelesaian jangka panjang supaya perkara ini tidak berlaku lagi," katanya kepada media.
Rata-rata penduduk yang ditemui terkejut kerana diarah berpindah secara tiba-tiba.
Suhairil Isa dan Muhammad Hafiz Mohd turut berkongsi reaksi mereka terhadap arahan itu susulan ia menyukarkan urusan harian mereka.
"Kita nak keluar macam itu sahaja pun tidak boleh juga, masing-masing kami ada tanggungjawab dan bekerja. Boleh jejas pendapatan kami," kata Suhairil.
"Saya harap isu ini boleh dipercepatkan urusannya, bagi elok baliklah. Nak suruh keluar, bukan semua boleh keluar. Ada yang keluar duduk rumah adik-beradik, tapi kalau yang tiada adik-beradik ini macam mana?," kata Hafiz.
Untuk rekod, tapak pelupusan sampah Pulau Burung dilaporkan terbakar dalam kejadian 4.43 petang, Rabu lalu.
Namun sehingga kini proses pemadaman di tapak berkeluasan 6.5 hektar itu masih lagi giat dilakukan ekoran api belum lagi dapat dipadam sepenuhnya.