PUTRAJAYA, 26 September-Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) memantau rapat perkembangan Taufan Helene dan Ribut Tropika John, yang dijangka memberi kesan kepada Amerika Syarikat dan Mexico, beberapa hari akan datang.
Wisma Putra dalam kenyataan pada Khamis menggesa rakyat Malaysia di Florida dan Mexico untuk kekal waspada, mematuhi semua perintah pemindahan dan keselamatan oleh pihak berkuasa tempatan.
"Rakyat Malaysia disana digalakkan untuk mendaftarkan kehadiran mereka melalui E-Konsular untuk mendapatkan sokongan dan kemas kini semasa," kata kenyataan itu.
Taufan Helene diramal semakin kencang dan dijangka mendarat di Florida pada Khamis sebagai ribut Kategori 4, dengan angin sehingga 251 km/j.
Sementara itu, nasihat itu menyatakan Ribut Tropika John semakin kukuh dan dijangka kembali kepada taufan.
Ia diramalkan melanda pantai utara Mexico, khususnya Costa Grande.
Kerajaan Mexico telah mengeluarkan amaran taufan untuk pantai Pasifik antara Lazaro Cardenas di negeri Michoacan dan Tecpan de Galeana di Guerrero.
"Kementerian akan terus memantau kedua-dua Taufan Helene dan Ribut Tropika John dan memberikan maklumat terkini jika perlu untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas," tambah kenyataan itu.