fb fb fb fb fb

Tasamuh tunggak konsep Keluarga Malaysia -PM

(Ismail Sabri)

KOTA BHARU, 23 Julai- Konsep tasamuh yang menekankan nilai toleransi dan kebersamaan menjadi tunggak kepada konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Kerajaan Persekutuan sejak setahun lalu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata nilai toleransi itu bukan hanya dalam hidup bermasyarakat tetapi juga beragama dengan menghormati hak dan kewajipan antara agama Keluarga Malaysia, sekali gus mewujudkan masyarakat yang aman dan sejahtera.

"Dengan tasamuh juga, Keluarga Malaysia akan lebih menghargai perbezaan antara sesama manusia dalam batas-batas yang digariskan oleh agama Islam.

"Sebagai kerajaan, sudah menjadi tanggungjawab untuk sentiasa menyuburkan semangat perpaduan, menyuntik nafas segar dalam kesatuan dan mencari titik persamaan dalam kepelbagaian melalui konsep Keluarga Malaysia dan tasamuh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini. AKM Kelantan, yang bertemakan Keluarga Malaysia Keluarga Digital bermula semalam hingga esok.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa selaku penyelaras AKM Kelantan, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Ketua Setiauasaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan.

(Ismail Sabri (tengah) merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan
di Stadium Sultan Muhammad IV,di sini.
AKM Kelantan, yang bertemakan
Keluarga Malaysia Keluarga Digital bermula semalam hingga esok)


Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata idea Keluarga Malaysia yang diperkenalkannya pada 22 Ogos tahun lepas bukan sekadar retorik atau slogan semata-mata, tetapi kesejahteraan dan kepentingan rakyat terus dipelihara seperti menjaga sebuah keluarga.

Katanya konsep Keluarga Malaysia bermatlamat supaya rakyat berbilang kaum dan merentasi agama di negara ini dapat terus mengamalkan hidup bersatu-padu dalam satu keluarga besar berasaskan tiga teras utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

"Konsep dan pendekatan Keluarga Malaysia bukanlah sesuatu yang sukar untuk dihadam kerana ia sebenarnya berlandaskan nilai-nilai sedia ada yang kita miliki dalam sebuah keluarga. Jika ada anggota keluarga yang kesusahan, anggota yang lain turut merasakannya ibarat tercubit paha kiri, paha kanan pun terasa sakit.

“Justeru, kita bawa konsep ini menjelajah ke seluruh negara  supaya rakyat dapat menghayati dan memahami aspirasi Keluarga Malaysia dengan lebih jelas," katanya.

Memasuki hari kedua jelajah AKM, rakyat Kelantan khususnya penduduk sekitar Kota Bharu beramai-ramai mengunjungi Stadium Sultan Muhammad IV sejak awal pagi hari ini untuk menyertai pelbagai program dan aktiviti seperti karnival kerjaya, keusahawanan digital, karnival jualan, pameran dan maklumat kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

Kehadiran Perdana Menteri untuk merasmikan AKM Kelantan menjadi tumpuan ramai apabila pelbagai lapisan masyarat memenuhi dewan utama majlis pelancaran seawal 8 pagi.

Biarpun tidak semua dapat masuk ke dewan berkenaan, namun masing-masing tetap teruja menunggu Perdana Menteri bersama telefon pintar masing-masing bagi merakam gambar pemimpin negara itu.-BERNAMA

 

Media Baharu