fb fb fb fb fb

Deklarasi New York: Malaysia tolak prasyarat bercanggah dasar luar

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan. - Foto BERNAMA

CYBERJAYA, 8 Ogos - Malaysia kekal menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, namun menolak sebarang prasyarat yang bercanggah dengan dasar luar negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan kekesalan terhadap kandungan Deklarasi New York yang menetapkan syarat tertentu sebelum penubuhan negara Palestin dapat dilaksanakan.

“Deklarasi itu hanya dibincang secara meja bulat melibatkan tujuh hingga lapan negara sahaja.

"Kita dapati terdapat beberapa prasyarat yang dilampirkan, dan ini tidak selari dengan pendirian Malaysia. Kita mahukan negara Palestin yang merdeka, titik. Tanpa sebarang syarat,” katanya pada sidang media sempena Sambutan Hari ASEAN ke-58 di sini.

Beliau menegaskan, perbincangan berhubung dokumen penting seperti Deklarasi New York perlu melibatkan 122 hingga 190 negara ahli Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bukan hanya dibincangkan oleh segelintir negara.

Deklarasi New York yang dibawa semula ke PBB oleh Perancis dan Arab Saudi pada 30 Julai lalu mengusulkan penyelesaian dua negara (two-state solution) sebagai jalan keluar konflik Palestin-Israel.

Namun, antara syarat utamanya adalah Hamas perlu meletakkan senjata dan menyerahkan pentadbiran Gaza kepada pihak berkuasa Palestin.

Malaysia berpandangan syarat sebegitu boleh menjejaskan prinsip keadilan dan kedaulatan rakyat Palestin dalam menubuhkan negara mereka sendiri.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN