fb fb fb fb fb

Tarikh Aidilfitri: Rujuk sumber rasmi - Fahmi

(FOTO BERNAMA)

SHAH ALAM, 10 April - Umat Islam di negara ini diingatkan untuk merujuk kepada sumber rasmi termasuk saluran televisyen tempatan berkaitan tarikh Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berharap masyarakat tidak mudah percaya atau terpengaruh dengan sebarang sebaran yang dibuat di media sosial mengenai tarikh itu.

(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil)

"Pengumuman kita yang terpakai hanya yang diumum oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja...jangan kita ambil tarikh dari Indonesia atau Emiriah Arab Bersatu dalam TikTok atau WhatsApp...kita perlu rujuk saluran rasmi maklumat yang disampaikan itu.

"Apa yang penting, rujuk yang rasmi, tidak pasti, jangan kongsi, itu peringatan saya kepada semua,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Usahawan Gempak 2023 di Stadium Malawati, malam tadi.

Minggu lalu, tular di media sosial dan WhatsApp mengenai hebahan tarikh Hari Raya Aidilfitri yang dikatakan jatuh pada 21 April ini, berbeza jangkaan awal pada 22 April.

Pada Jumaat, Pusat Astronomi Antarabangsa di Emiriah Arab Bersatu mengumumkan bahawa negara-negara Islam dijangka melihat hilal Syawal atau anak bulan pada hari Khamis, 20 April yang berkemungkinan menjadi penghujung bulan Ramadan.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Naim Mokhtar memaklumkan perkara itu akan dibincangkan dalam Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, bagi memastikan Aidilfitri ‘mengejut’ seperti tahun lalu tidak berulang lagi.

Media Baharu