fb fb fb fb fb

Bekas MB Perlis Azlan Man dijangka didakwa hari ini

KANGAR, 10 April- Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan rasuah.

Beliau akan didakwa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Bekas Menteri Besar itu dijangka berdepan lima pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah hampir RM1 juta, antara 2013 hingga 2017.

Azlan dijangka berdepan tuduhan itu di hadapan Hakim Norsalha Hamzah pada pukul 8.30 pagi.

SPRM turut menghantar nota jemputan kepada media untuk membuat liputan membabitkan tuduhan terhadap seorang bekas Menteri Besar di Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini.

Terdahulu, menerusi jemputan kepada media, SPRM tidak menamakan identiti sebenar bekas menteri besar itu.

“Dengan ini adalah dimaklumkan, SPRM telah mendapat izin mendakwa terhadap seorang bekas menteri besar,” kata kenyataan itu.

(Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man / FOTO BERNAMA)

Azlan, berusia 60-an, menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh pada 2013 hingga 2018, sebelum memenangi kerusi DUN Bintong dari 2018 hingga tahun lalu dan kemudian tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Azlan ialah Menteri Besar Perlis dari 2013 ke 2022.

Media Baharu