Tarif AS dipercayai beri kesan minimum kepada eksport sawit Malaysia

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Tarif terbaharu yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) dipercayai hanya memberi kesan minimum kepada prestasi eksport minyak sawit negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tarif AS dijangka beri kesan minimum kepada eksport minyak sawit negara.
  • AS bukan pasaran utama; eksport ke AS hanya sebahagian kecil berbanding India, Kenya dan China.
  • Permintaan minyak sawit di AS stabil terutama untuk sektor bakeri dan kosmetik.
  • Kerajaan tingkatkan pemelbagaian pasaran eksport untuk kurangkan kebergantungan pada satu pasaran.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, AS bukan pasaran utama minyak sawit Malaysia dan eksport ke pasaran itu secara relatifnya kecil jika dibandingkan dengan pasaran utama lain seperti India, Kenya dan China.

“AS merupakan pasaran eksport ke-24 terbesar minyak sawit Malaysia yang direkodkan dan jumlah ini hanya mewakili 1.1 peratus. Dari segi impak pula, kesannya masih lagi terkawal dan tidak menjejaskan prestasi eksport secara signifikan. Penggunaan minyak sawit di AS bergantung kepada industri,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Michael Mujah Lihan di Dewan Negara, hari ini.

Datuk Seri Dr. Noraini berkata, permintaan daripada industri di AS khususnya dalam sektor bakeri dan kosmetik yang memerlukan minyak sawit kekal stabil.

Bagi getah, beliau berkata kesan sebenar akan bergantung kepada kadar akhir tarif yang dilaksanakan serta skop produk yang terlibat.

Beliau berkata, sebagai langkah mitigasi, kerajaan sedang menggiatkan usaha mempelbagaikan pasaran eksport ke rantau lain dan cuba mengurangkan kebergantungan kepada hanya satu pasaran saja.