
KULIM, 27 Januari – Kira-kira 1.4 hektar kawasan pelupusan sisa domestik terbakar di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Padang Cina, di sini, hari ini.
- 1.4 hektar tapak pelupusan sisa domestik di Padang Cina terbakar, operasi pemadaman dijalankan dengan bantuan pihak swasta.
- Tiada mangsa dilaporkan; 27 anggota dan beberapa jentera, jengkaut serta lori air terlibat dalam operasi.
- JAS Kedah memantau udara dengan dron dan meter gas; IPU stesen Kulim Hi-Tech catat 60 (sederhana) dan siasatan dijalankan.
Ketua Zon 3, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Penguasa Kanan Bomba II Mohd Faizal Sulaiman, berkata Pusat Gerakan Operasi Kedah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.30 pagi.
Beliau berkata, jentera bomba tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian dan mendapati kebakaran sedang marak serta merebak di kawasan tapak pelupusan berkenaan.
Setakat laporan ini, tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Menurut beliau, operasi pemadaman dijalankan menggunakan semburan air dengan bantuan pihak swasta.
Seramai 27 anggota terlibat dalam operasi itu, terdiri daripada 12 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech, serta 15 pekerja syarikat swasta, dengan kekuatan beberapa jentera bomba, jengkaut dan lori muatan air.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata JAS turut menjalankan pemantauan udara menggunakan dron serta memasang alat pengukuran gas bagi memantau tahap kualiti udara di sekitar tapak pelupusan berkenaan.
Beliau berkata, pemantauan turut meliputi kawasan sensitif berhampiran seperti kawasan perumahan dan sekolah.
Menurutnya, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di stesen pengawasan kualiti udara ambien terdekat, iaitu Stesen Kulim Hi-Tech, setakat ini mencatatkan bacaan 60, yang berada pada kategori sederhana.
JAS Kedah juga menjalankan pemantauan menggunakan peralatan meter gas bagi mengesan kemungkinan kehadiran gas pencemar lain.
Orang awam dinasihatkan supaya menjauhi kawasan kejadian sebagai langkah keselamatan.
Selain pemantauan kualiti udara, JAS Kedah turut meneruskan siasatan di bawah Seksyen 29A(2), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.