fb fb fb fb fb

Tangguh aktiviti di pantai, elak fenomena air pasang besar

Foto hiasan

ALOR SETAR, 29 Oktober- Fenomena air pasang besar dijangka berlaku di empat lokasi dikenal pasti berisiko di Kedah selama tiga hari bermula hari ini.
 
Lokasi terlibat ialah Kuala Kedah di Daerah Kota Setar; Kota Kuala Muda di Kuala Muda; Kuala Yan, Yan; dan Kuala Jerlun di Kubang Pasu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Leftenan Kolonel (Pertahanan Awam) Zairil Anuar Zulmuji berkata, pihaknya melalui petugas Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) akan melakukan pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk kawasan setempat.
 
Sebanyak 38 kenderaan darat pelbagai jenis dan 85 buah bot sedia digerakkan ke kawasan yang terjejas.
 
Seramai 1,100 anggota sukarelawan APM juga berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
 
"Penduduk yang tinggal di sekitar kawasan-kawasan yang berisiko terutamanya di kawasan pantai diingatkan dan dinasihatkan supaya sentiasa bersiap-siaga dan memantau persekitaran kediaman masing-masing.

"Sekiranya berlaku kenaikan air yang berdadak mereka perlu bersedia untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat dan juga ke pusat-pusat pindahan sementara," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan di sekitar Jeti Kuala Kedah di sini.

Zairil Anuar Zulmuji turut mengarahkan pasukan penyelamat pantai di menara tinjau sekitar Pantai Merdeka dan pantai sekitar Pulau Langkawi khususnya Pantai Cenang untuk memantau pergerakan orang awam yang datang beriadah.
 
Fenomena air pasang besar yang diramal berlaku dalam tempoh tiga hari dijangka mencapai ketinggian ombak sehingga tiga meter dan dijangka berlaku pada awal pagi iaitu antara pukul 12.00 tengah malam hingga pukul 2.00 pagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI