fb fb fb fb fb

Malaysia-Singapura sepakat jalin kerjasama bangun belia

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 29 Oktober- Parlimen Malaysia dan Singapura sepakat jalin kerjasama erat sebagai rakan ASEAN bagi membangun belia.

Perkara itu untuk menggalakkan usaha penggubalan dasar ke arah mencapai matlamat komuniti ASEAN yang mampan serta makmur di peringkat kebangsaan dan serantau.

Pertemuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul bersama-sama rakan sejawatnya dari Singapura Tuan Yang Terutama (TYT) Seah Kian Peng yang berlangsung di Parlimen Singapura, baru-baru ini turut bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala antaranya berkaitan keterjaminan makanan, kecerdasan buatan (AI) dan tenaga boleh baharu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Parlimen, "kedua-dua Speaker turut membincangkan perkongsian kedua-dua negara bagi memperdalam kerjasama pelbagai peringkat dalam bidang kesihatan, pendidikan, budaya dan daya tahan rantaian bekalan.

"Perbincangan tersebut juga meneroka peningkatan potensi dalam melonjakkan ekonomi, pelaburan dan perdagangan Malaysia-Singapura kepada pasaran ASEAN, melalui jalinan usahama baharu dan perkongsian strategik," kata kenyataan itu.

Singapura merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia selepas China dengan jumlah dagangan sebanyak RM181.3 bilion.

 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI