TAPAH, 3 April- Perak melakar sejarah apabila projek tanaman rintis bawang merah tanah rendah di Ladang Bikam, Sungkai membuahkan hasil.
Justeru, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup memaklumkan, pihaknya kini dalam perancangan untuk menambah keluasan tanaman bawang termasuk memperluas ke daerah lain di negeri itu.
Tambahnya, Perak berpotensi menjadi hub penanaman bawang di negara ini.
"Tanaman rintis ini nampaknya berjaya, bererti pada hari ini kita telah lakarkan satu sejarah bagi negara kita, di mana kita telah berjaya menghasilkan bawang yang 100% hasil dan milik negara Malaysia.
"Perak nampaknya menjadi negeri yang 'pioneer' (perintis) untuk bawang ini, maka Perak dilihat mendahului negeri-negeri lain dalam penanaman bawang tempatan," katanya dalam sidang media selepas meninjau projek rintis berkenaan di Kampung Ladang Bikam di Sungkai.
Projek Pembangunan Tanaman Bawang Fasa 1 di Sungkai itu dilaksanakan awal tahun ini menggunakan 1.5 tan benih bebawang dengan secara keseluruhan projek tersebut melibatkan tiga fasa di kawasan berkenaan.
Arthur Joseph optimis projek tanaman bawang tersebut mampu mengeluarkan hasil sehingga enam tan metrik setiap hektar.