fb fb fb fb fb

Tanah runtuh: NADMA bantu salur bantuan, sebaik peroleh data dan maklumat mangsa

(Armizan Mohd Ali melawat pusat pemindahan sementara (PPS) SMK Sri Semantan, Temerloh
pada 16 Disember 2022/
Foto FB APM Pahang)

BATANG KALI, 25 Disember- Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan membantu menyalurkan bantuan segera kepada mangsa dan ahli keluarga yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, bantuan itu akan disalurkan sebaik pihak NADMA mendapat data dan maklumat mangsa daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

"Operasi mencari dan menyelamat telah selesai, kini fokus kita adalah untuk pengurusan pasca bencana termasuk penyaluran bantuan kepada para mangsa dan ahli keluarga terlibat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Armizan turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua mangsa dan ahli keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi menyayat hati pada awal pagi 16 Disember itu.

"Salam takziah buat kesemua 92 orang mangsa dan ahli keluarga yang terlibat.

"Kita bersyukur kerana 61 mangsa telah berjaya diselamatkan dan amat berdukacita dengan kematian 31 mangsa," katanya.

Ujarnya lagi, setinggi-tinggi penghargaan turut dirakamkan kepada seluruh pasukan SAR yang bertungkus-lumus selama sembilan hari operasi di lokasi tanpa mengira penat lelah dan keadaan sukar.

"Tanpa mengira penat lelah dan keadaan sukar yang ditempuhi di lokasi kejadian termasuk keadaan cuaca, operasi SAR diteruskan sehingga semalam semua mangsa telah dijumpai dan operasi telah dihentikan sepenuhnya," katanya.

Armizan dalam kenyataan turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya terus bersiap-siaga kerana fenomena Monsun Timur Laut 2022/2023 masih belum berakhir.

"Sentiasa peka kepada informasi dan amaran, serta perlu patuhi nasihat agensi berwajib demi keselamatan bersama," katanya.

(Foto FB APM Pahang)

Media Baharu