KUALA LUMPUR, 22 Ogos - Lembaga Tabung Haji (TH) membuat laporan polis dan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), berhubung penyebaran video berunsur fitnah dan hasutan di media sosial.
TH memaklumkan, video berkenaan mengandungi provokasi serta tuduhan tidak berasas yang boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat, khususnya berkaitan inisiatif penjenamaan dan tadbir urus institusi itu.
Pelan penjenamaan semula yang dilaksanakan bertujuan memperkukuh peranan TH sebagai institusi simpanan Islam pilihan. Ia bagi membantu umat Islam meningkatkan simpanan, selain memudahkan mereka menunaikan ibadat haji dengan kos yang semakin meningkat.
TH turut menegaskan urusan ibadat haji kekal dikendalikan sepenuhnya oleh pengurusan bumiputera Muslim, manakala aspek teknikal bagi inisiatif penjenamaan disokong konsortium yang dibentuk khas oleh institusi itu.
TH memandang serius perkara ini dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu atau pemilik akaun media sosial yang terlibat. Orang ramai dinasihatkan hanya merujuk kepada saluran rasmi TH bagi mendapatkan maklumat sahih.