fb fb fb fb fb

Tiga lelaki ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk di Kuching

Suspek dibawa ke IPD Kuching untuk siasatan lanjut / Foto TVS

KUCHING, 22 Ogos – Tiga lelaki tempatan ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk dalam satu operasi yang dijalankan di sekitar Kuching, bermula jam 11 malam semalam hingga 4 pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, ketiga-tiga suspek berusia antara 24 hingga 65 tahun itu ditahan di Jalan Tabuan, kira-kira jam 1.00 pagi.

“Ujian pernafasan ke atas ketiga-tiga lelaki tersebut merekodkan bacaan melebihi 50 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah,” katanya dalam satu kenyataan.

Kesemua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh berdepan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun, atau denda sehingga RM10,000, serta berisiko kehilangan lesen memandu.

Dalam operasi berkenaan yang bertujuan mengesan pemandu di bawah pengaruh alkohol, sebanyak 84 individu telah diperiksa, manakala 27 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

HASRON BIN HASSAN