fb fb fb fb fb

Siling runtuh, kebimbangan peniaga bazar kraftangan jadi kenyataan

(Runtuhan siling yang berlaku di Bazar Kraftangan Dataran Pahlawan Megamall di Banda Hilir)

BANDARAYA MELAKA, 12 Disember- Kebimbangan peniaga di Bazar Kraftangan Dataran Pahlawan akan berlakunya runtuhan pada siling kawasan mereka berniaga menjadi kenyataan, malam tadi.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian kira-kira pukul 10.00 malam itu.

Peniaga mendakwa runtuhan terbabit dipercayai berpunca daripada kebocoran saluran paip pembentungan di kawasan bawah tanah pusat beli belah berkenaan yang menempatkan 70 kedai kraftangan.

Ia susulan tiada penyelenggaran dilakukan pihak pengurusan pusat beli belah berkenaan terutama bagi membaik pulih siling dan tangki kumbahan sehingga menyebabkan kerosakan pada syiling.

Dakwa mereka, aduan telah dibuat sejak tiga tahun lalu, namun tiada sebarang tindakan diambil pihak pengurusan.

Peniaga bazar berkenaan, Abdul Rahim berkata runtuhan tersebut nyaris mengenai seorang pelanggannya.

"Saya sudah agak siling ini hendak runtuh dan aduan juga sudah dibuat lama lagi. Sebelum runtuh terdapat seorang pelanggan bersama bayi sedang membeli barang, lebih kurang satu minit sahaja dia keluar runtuhan berlaku. Saya tidak dapat bayangkan jika mereka keluar lewat satu minit, sudah tentu nyawa kedua-dua mereka boleh melayang," katanya di sini.

Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan 2 (PBK I) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Hairuddin Atan berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar pukul 10.00 pagi tadi.

Hairuddin berkata, sebuah jentera dengan tujuh anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Runtuhan mungkin berlaku disebabkan faktor musim hujan yang menyebabkan beban kepada siling susulan takungan air hujan. Pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) juga telah membuat pemantauan di lokasi kejadian.

"Setakat ini, tiada mangsa yang cedera dikesan oleh pihak bomba," katanya.

(Abdul Rahim berkata siling runtuh nyaris mengenai pelanggannya)

Media Baharu