fb fb fb fb fb

Banjir: Jumlah penduduk terjejas di Pahang berkurangan, Perak kekal

(Foto fail)

TEMERLOH, 12 Disember- Jumlah penduduk terjejas banjir di Pahang terus menunjukkan trend penurunan kepada 516 penduduk daripada 156 keluarga yang ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka, setakat pukul 2.00 petang tadi.

Menurut portal Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), trend penurunan itu susulan penutupan PPS Balairaya Kampung Sempadan di Jerantut dengan 20 penduduk terjejas yang ditempatkan di PPS terbabit telah dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing.

Infobencana JKM memberitahu, penduduk paling ramai dipindahkan di PPS Dewan SMK Seri Semantan, Temerloh iaitu 374 orang.

Manakala, dua PPS di Lipis iaitu SK Lubuk Kulit menempatkan 58 orang dan Masjid Beletik menempatkan 31 orang.

"Tiga PPS dibuka di Raub melibatkan Balairaya Kampung Ria menempatkan tiga orang, Masjid Kampung Kuala Semantan (lapan) dan Balairaya Kampung Sengkela (tujuh).

"Di Bera, 26 orang penduduk terjejas ditempatkan di PPS SK Seri Buntar dan sembilan orang di SK Kerayong," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, jumlah penduduk terjejas banjir di Perak kekal 134 orang melibatkan 31 keluarga.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak menerusi kenyataan memaklumkan, satu PPS masih beroperasi di daerah Hilir Perak iaitu PPS Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib.

"Antara kawasan terjejas adalah di Kampung Batu 7 Lorong Mesra, Batu 9, Lorong Sidang Osman Batu 8, Lorong Kedah Batu 8, Batu 8 dan Batu 7 Ganda," menurut kenyataan itu.

(Foto fail)

Media Baharu