fb fb fb fb fb

Perahu tradisional jadi pengangkutan utama penduduk terjejas banjir

KEMAMAN, 12 Disember - Perahu timbal menjadi pengangkutan yang sering digunakan penduduk di Hulu Dungun, Terengganu untuk ke kawasan selamat ketika banjir.

Perahu tradisional itu mempunyai keistimewaan tersendiri serta tahan lasak berbanding bot moden terutama untuk meredah sungai ketika musim banjir.

Pembuat perahu timbal, Tengku Ibrahim Tengku Jaafar, 65 tahun berkata perahu timbal mendapat permintaan tinggi kerana tahan lasak.

Ini kerana ia dihasilkan daripada tiga jenis kayu bermutu tinggi seperti kayu meranti, seraya dan merbau.

(Pembuat perahu timbal, Tengku Ibrahim Tengku Jaafar)

"Kalau tiada perahu ini memang susah...maknanya kalau sebuah rumah itu tenggelam ada enam, tujuh orang dalam satu rumah kita boleh bawak tiga orang sahaja dan bawak dokumen-dokumen penting sahaja.

"Kalau bot yang kerajaan bagi itu ada...tapi fiber...yang itu kalau dalam kampung ini tidak boleh sebab kayu banyak...langgar kayu habis tapi kalau perahu timbal ini tidak apa dia boleh kena kayu dan tidak pecah," kata Tengku Ibrahim.

Tahun ini, sebanyak sepuluh buah perahu timbal telah disiapkan dengan setiap perahu dijual antara RM1,500 hingga RM3,000 bergantung kepada jenis kayu dan panjang perahu yang hendak dibina.

(Perahu timbal yang telah disiapkan Tengku Ibrahim)

Tengku Ibrahim yang sudah hampir 50 tahun menjadi tukang kayu bersyukur kerana masih diberikan kekuatan untuk meneruskan legasi seni pembuatan perahu itu.

Sehingga kini, beliau sudah pun melatih hampir lapan generasi muda yang berminat dalam seni pembuatan perahu.

Media Baharu