fb fb fb fb fb

Polis tembak mati dua penjenayah dikehendaki

(Dua pucuk senjata api yang digunakan suspek dalam kejadian berbalas tembakan)

ALOR SETAR, 12 Disember- Dua penjenayah dikehendaki mati ditembak polis dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Jeniang-Kalai di Gurun, Kedah pada Sabtu.

Ketua Polisi Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pihaknya bertindak memintas dan mengarahkan sebuah kenderaan berhenti selepas ia dikesan dalam keadaan mencurigakan dalam kejadian kira-kira pukul 11.00 malam.

Wan Hassan berkata, ketika pemeriksaan dijalankan berlaku berbalas tembakan antara penjenayah dan polis.

Suspek yang berada di tempat pemandu dan penumpang mati serta merta di tempat kejadian, manakala satu das tembakan yang dilepaskan suspek mengenai jaket kalis peluru polis.

"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menjumpai dua pucuk senjata api, sebilah parang dan pedang serta pelbagai peralatan untuk tujuan samun dan pecah rumah sekitar daerah Kuala Muda dan Kulim.

"Semakan polis mendapati mereka adalah lelaki warga tempatan berusia sekitar 40 dan 64 tahun yang memiliki 64 rekod lampau pelbagai kes samun, dadah, jenayah harta benda. Mereka juga individu dikehendaki dalam kes samun berkumpulan dan bersenjata," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307 KK (Cuba Bunuh Orang), Seksyen 8 Akta Senjata Api ( Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama 14 tahun dan juga dikenakan denda serta sebatan.

Tambah Wan Hassan, pihak polis berjaya selesaikan beberapa siri kes samun bersenjata sekitar di daerah Kuala Muda dan Kulim dengan tertumpasnya kumpulan penjenayah terbabit.

(Senjata api, parang, pedang dan pelbagai alatan samun dirampas dalam
kereta suspek)

 

Media Baharu