fb fb fb fb fb

Ahli parlimen keluar parti: Azalina tunggu laporan rasmi peguam negara

KUALA LUMPUR, 12 Disember- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan pihaknya masih menunggu laporan rasmi daripada Jabatan Peguam Negara berhubung status empat Ahli Parlimen BERSATU Sabah yang mengumumkan keluar parti semalam.

Jelas beliau keputusan muktamad mengenai perkara tersebut terletak kepada Speaker Dewan Rakyat berdasarkan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

 
(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi),
Datuk Seri Azalina Othman Said)

"Bagi saya tunggu laporan rasmi pandangan daripada pejabat peguam negara dan AG Sabah sebab Sabah ni.. lain. Kedua saya rasa dalam perkara 49A keputusan muktamad adalah speaker dalam masa 21 hari selepas notis diberikan kepada beliau, tetapi dalam pindaan perlembagaan itu diletakkan beberapa syarat untuk membuat kepastian jadi luar dari bidang kuasa saya untuk memberikan komen.. Saya menunggu pandangan dari pihak Peguam Negara dan AG Sabah," katanya.

Sebelum ini empat pemimpin BERSATU Sabah mengumumkan keluar daripada parti itu.

Mereka terdiri daripada Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Sementara itu, keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan usul undi percaya terhadapnya pada sidang Dewan Rakyat minggu depan adalah hak prerogatifnya sebagai Ketua Majlis.

Jelas Azalina, berdasarkan sistem Westminster, sesiapa sahaja boleh mengusulkan undi percaya pada bila-bila masa.

"Untuk seorang Perdana Menteri mengadakan usul terbabit biarpun beliau sudah mendapat perkenan daripada yang dipertuan Agong selain sokongan gabungan besar, kita perlu menghormati keputusannya dan bagi saya Perdana Menteri seorang yang berani kerana beliau mahu Ahli Parlimen menunjukkan sokongan mereka kepada dirinya dan itu hak preprogratis sebagai Ketua Majlis," katanya kepada media selepas ditanya berhubung agenda usul undi percaya yang akan dibahaskan di Parlimen minggu depan.

Sebelum itu Datuk Seri Azalina menyempurnakan Majlis Penutupan Forum Hari Hak Asasi Manusia 2022 bertemakan 'Strengthening and Enhancing Human Rights Towards Leaving No One Behind' di ibu negara.

Media Baharu