fb fb fb fb fb

Syarat MM2H dipinda, tarik lebih ramai peserta - Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

KLUANG, 14 Mac - Kerajaan akan meminda beberapa syarat program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) untuk menarik lebih ramai peserta warga asing ke negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa Kabinet Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang dipengerusikan beliau, pada Rabu.

Beliau berkata, antara syarat utama yang akan disemak semula adalah jumlah deposit tetap yang perlu dimiliki oleh pemohon yang berbeza mengikut tiga peringkat iaitu perak, emas dan platinum.

"Untuk zon istimewa Johor termasuk Forest City, kita telah bersetuju untuk mempermudah lagi dengan mengurangkan jumlah nilai pembelian hartanah dan juga mengurangkan nilai simpanan tetap dan juga memberikan kelonggaran pemilikan dengan moratarium yang lebih mudah daripada sebelum itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Pekan Layang Layang, di sini.

Tambah Ahmad Zahid, Jabatan Imigresen pula katanya akan mempermudahkan permohonan peserta dimana permohonan akan disemak dalam tempoh tiga hari waktu bekerja bagi memastikan mereka layak dari segi keselamatan.

Katanya, di bawah syarat yang disemak semula juga, pemohon tidak boleh menjual semula harta mereka sebelum tempoh 10 tahun dan visa pemohon mesti diperbaharui setiap lima tahun.

Selain itu, moratarium syarat hartanah yang dibeli tidak boleh dijual sebelum mencapai tempoh matang sekurang-kurangnya 10 tahun manakala penyambungan visa akan dibuat setiap lima tahun.

“Apa yang kita lakukan ialah menambah baik sistem sedia ada tanpa menjejaskan keselamatan negara," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN