KUALA LUMPUR, 11 November- Syarahan Umum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti Al-Azhar memperkukuh hubungan strategik Malaysia bersama universiti Islam ulung dunia itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dalam satu kenyataan, berkata syarahan tersebut menjadi bukti pengiktirafan besar kepada ketokohan dan kepimpinan Datuk Seri Anwar.
"Universiti ini telah memberikan sumbangan besar dalam menyatupadukan umat Islam serta membina generasi ilmuan di serata dunia melalui manhaj kesederhanaan yang menjadi asas ketamadunan ummah," kata kenyataan itu.
Justeru, beliau menyeru semua pihak agar benar-benar menghayati nilai-nilai Islam serta menterjemah kepada tindakan yang terbaik demi negara dan umat seperti dinyatakan oleh Perdana Menteri dalam syarahan tersebut.
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) juga akan mengambil saranan Perdana Menteri agar anak-anak muda dilengkapkan dengan ilmu agama serta pengetahuan dan juga kemahiran dalam bidang teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).