fb fb fb fb fb

SWCorp tubuh 104 DTRC seluruh negara

Foto RTM

AYER KEROH, 27 Februari - 104 Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) telah diwujudkan di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Datuk Ahmad Husaini Abd Rahman berkata, daripada jumlah itu 74 DTRC ditubuhkan di negeri yang mengguna pakai Akta 672.

Usaha dilaksana bagi menggalakkan dan memudahkan masyarakat melaksana kitar semula.

Ia sekali gus mencapai sasaran kadar kitar semula yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 iaitu sebanyak 40 peratus menjelang 2025.

Ahmad Husaini ditemui pemberita pada perasmian DTRC ArusV di sini.

Akta 672 telah dikuatkuasakan pada 1 September 2011 di seluruh Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan kecuali Labuan, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Terengganu dan Kelantan.

Akta berkenaan bermatlamat untuk memastikan keseragaman undang-undang dalam pengawalan dan pengawalseliaan perkara-perkara yang berhubungan dengan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Sementara itu, lebih banyak syarikat tempatan di Melaka digalakkan bekerjasama dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dalam menguruskan sisa pepejal yang boleh dikitar semula.

Inisiatif tersebut dapat membantu mengurangkan pengumpulan sisa pepejal di tapak pelupusan sampah.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, inisiatif berkenaan juga dapat menjana pendapatan kepada masyarakat.

"Saya menggalakkan banyak lagi penyertaan daripada syarikat-syarikat tempatan bukan sahaja di Melaka malah di seluruh Malaysia agar dapat mengkaji melihat bagaimana kita boleh membuat program kitar semula ini.

"Kalau kita lihat sebelum ini di Melaka kita telah melancarkan program kitar semula untuk mengenal pasti dari rumah iaitu Kitar semula barangan jadi hari ini kita melancarkan pula pandu lalu ", katanya yang ditemui pemberita selepas melancarkan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) ArusV dengan kerjasama SWCorp di sini.

DTRC ini merupakan pusat kitar semula pertama di negara ini yang mengumpulkan sisa makanan untuk dikitar semula.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD