fb fb fb fb fb

Susulan pengeboman hospital: Biden marah, sedih tanpa tunding jari kepada sesiapa

(Mayat mangsa yang maut dalam pengeboman di hospital Al-Ahli dikumpulkan di luar hospital Al-Shifa di Gaza/FOTO AFP)

GAZA, 18 Oktober - "Saya rasa marah dan amat sedih dengan letupan yang berlaku di hospital Al Ahli Arab di Gaza," luah Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden melalui ciapan di Twitter.

Biden berkata, selepas serangan ke atas Hospital Al-Ahli al-Arabi di Gaza beliau terus menghubungi Raja Jordan, Raja Abdullah dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

"Saya sangat marah dan sedih dengan kejadian pengeboman di Hospital Al-Ahli al-Arabi di Gaza sehingga menyebabkan kehilangan nyawa yang sangat dahsyat.

"Saya telah mengarahkan pasukan keselamatan negara untuk terus mengumpul maklumat tentang apa yang sebenarnya berlaku," katanya menerusi ciapan di Twitter.

Bagaimanapun, dalam kenyataan ringkas yang dikongsi White House, Biden tidak menunding jari kepada mana-mana pihak mengenai insiden berdarah itu.

Biden menegaskan, Amerika Syarikat berdiri teguh untuk melindungi kehidupan orang awam ketika dalam keadaan konflik.

"Kami turut berduka terhadap pesakit, kakitangan perubatan dan nyawa yang tidak bersalah menjadi korban atau cedera dalam tragedi ini," katanya.

(Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden melahirkan rasa marah dan sedih atas insiden yang menimpa rakyat Palestin di Gaza/FOTO AFP)

Kira-kira 500 rakyat Palestin terbunuh dalam satu letupan di hospital Gaza semalam, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.

Ia berlaku pada malam sebelum lawatan Presiden Amerika Syarikat, (AS) Joe Biden ke Israel bagi menunjukkan sokongan kepada rejim Zionis itu dalam peperangan dengan Hamas.




Media Baharu