KUALA LUMPUR, 29 April- Dua warga Taiwan yang dikehendaki kerana disyaki terlibat dengan kes tembakan di negara berkenaan telah diserahkan kepada pihak polis Taiwan.
Kedua-dua suspek sebelum itu ditahan Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman ketika memasuki negara melalui penerbangan dari Taiwan pada 20 April 2023.
Mereka dipercayai merupakan ahli kongsi gelap serta anggota sindiket scammer di Taiwan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata suspek ditahan susulan waran tangkap yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Taiwan.
Di samping pasport kedua-dua mereka dibatalkan oleh kerajaan Taiwan dan tangkapan dibuat bawah Akta Imigresen 1959/63.
"Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama erat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pihak berkuasa Taiwan, dan kolaborasi ini akan diteruskan untuk mengenal pasti rangkaian jenayah berkait kedua-dua suspek di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
(Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani/Foto fail Bernama)
Kedua-dua suspek telah diserahkan kepada wakil polis Taiwan di KLIA semalam untuk dibawa pulang ke negara asal.
Acryl Sani berkata PDRM komited dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam.
"Langkah-langkah keselamatan akan diambil bagi memastikan Malaysia tidak dijadikan negara transit atau destinasi bagi mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” tambahnya.