(FOTO HIASAN)
IPOH, 12 April- Seorang suri rumah berusia 50-an trauma selepas mengalami kerugian wang akibat terpedaya dengan panggilan penipuan (phone scam).
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri menerusi satu kenyataan memaklumkan, kali ini kes melibatkan kerugian hampir RM500,000.
“Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian menerima laporan daripada wanita yang berusia 50-an itu pada Sabtu lepas.
"Kejadian berlaku pada Februari lalu apabila pengadu menerima panggilan telefon kononnya dari pihak insurans dan polis yang mendakwa pengadu terbabit dalam satu tuntutan palsu dan terlibat dengan kes jenayah pemerasan dan judi haram,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Terpedaya kononnya bagi tujuan siasatan, pengadu diminta mendedahkan maklumat akaun pengadu kepada pihak berkenaan dan kemudian diarahkan membuat pindahan wang ke dalam akaun yang telah diberikan.
Datuk Seri Mohd Yusri berkata pengadu menyedari telah diperdaya apabila memaklumkan perkara tersebut kepada ahli keluarganya dan hasil semakan mendapati wang simpanan dalam akaunnya berkurangan sebanyak RM459,754.
Minggu lalu, beliau mendedahkan seorang pesara guru wanita mengalami kerugian lebih RM585,000 selepas terpedaya dengan sindiket yang menggunakan modus operandi yang sama.
(Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri)