KUALA LUMPUR, 12 April– Orang ramai kini boleh mendapatkan maklumat tepat berkaitan kes tuntutan pihak yang mengaku sebagai waris Sultan Jamalul Kiram II (Sultan Sulu) terhadap Malaysia, dengan merujuk ke laman sesawang Malaysia-SuluCase.gov.my.
Kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyebut "memandangkan Malaysia kini sedang berhadapan dengan prosiding di beberapa buah negara Eropah (Sepanyol, Perancis, Luxembourg, dan Belanda), adalah penting bagi memastikan penyebaran maklumat kes ini adalah tepat sekali gus menafikan penyebaran berita yang tidak benar dan palsu."
Laman web itu diperkenalkan kerajaan Madani menerusi menerusi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM), Kementerian Luar Negeri, dan Kementerian Komunikasi dan Digital.
“Pada pukul 1.40 petang hari ini telah melancarkan laman sesawang Malaysia-SuluCase.gov.my, sebuah repositori maya bagi semua maklumat berkaitan kes tuntutan pihak yang mengaku sebagai waris Sultan Jamalul Kiram II (Sultan Sulu) terhadap Malaysia,” jelas kenyataan itu.
Pelancaran laman sesawang itu juga sebagai satu langkah kerajaan untuk memberikan naratif sejarah dan kronologi kes perundangan di pelbagai bidang kuasa yang betul dan sahih.
(Datuk Seri Azalina Othman Said/Foto Bernama)
“Terdapat pelbagai kemusykilan pada “fakta-fakta” kes yang dikemukakan oleh pihak yang mendakwa diri mereka sebagai waris Sultan Sulu. Antaranya, sehingga kini, tidak ada apa-apa bukti yang menunjukkan bahawa penuntut-penuntut ini benar-benar waris kepada Sultan Sulu.
“Ia berbeza dengan kes Kerajaan Malaysia, yang mana adanya laporan Suruhanjaya Cobbold 1963 di mana Sabah telah membuat pilihan untuk bersama-sama dengan Semenanjung dan Sarawak bagi membentuk Negara Malaysia,” memetik kenyataan tersebut.
Laman sesawang tersebut akan dikemas kini selari dengan perkembangan semasa kes yang sedang berlangsung, serta boleh diakses dalam lima bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Perancis, Sepanyol, dan Tagalog.
Ini bagi membolehkan pelbagai pihak serta media antarabangsa mengikuti dan memahami kes ini melalui fakta dan informasi sebenar yang dikemukakan oleh Kerajaan Malaysia.
Kerajaan berharap rakyat Malaysia akan mengakses serta mengikuti kes tersebut dengan teliti melalui laman sesawang yang dibangunkan itu kerana sebarang keputusan yang memihak kepada pihak penuntut akan mempunyai kesan besar dan serius kepada kedaulatan dan keselamatan negara.
Pada masa sama, Kerajaan Malaysia juga akan terus memelihara kepentingan, kekebalan kedaulatan, dan kedaulatan Malaysia pada setiap masa dan mengambil segala tindakan yang perlu bagi menghentikan tuntutan tersebut.